Sejarah Sri Jayanaga

Pada 673 M, Sri Jayanaga telah memakai gelaran Sri Maharaja Sri Wijaya atau Dapunta Hyang. Baginda telah berjaya menakluk Segenting Kra, Dvaravati (Thailand-Kemboja-Laos) dan Arimadana (Myanmar).

Pada 683 M (605 saka), baginda telah menakluk Sumatera Selatan melalui Kedah dan ada tercatat di dalam Batu Bersurat Kedukan Bukit. Terdapat padanya bahawa baginda telah menyerang kawasan Palembang dengan 20,000 tentera. Dari Palembang, baginda menyerang Malayu yang terletak di Jambi dan menguasai seluruh Sumatera.

Setelah berjaya menakluk Malayu, Sri Maharaja Sri Wijaya telah menghantar berpuluh-puluh utusan kepada semua negara yang terdapat di Kepulauan dengan memberi kata dua iaitu bayar ufti atau perang. Semua negara telah tunduk tanpa perang kecuali Kalingga yang terletak di Bumi Jawa iaitu Jawa Timur dan Jawa Tengah.

Batu Bersurat Kota Kapur di Pulau Bangka bertarikh 686 M ialah amaran kepada penduduk supaya jangan menderhaka ketika baginda menyerang Bumi Jawa dan prasasti ini ditulis semasa serangan pertama Sriwijaya ke atas Kalingga. Pada serangan kali ketiga ke atas Kalingga, Maharaja Sri Wijaya telah gugur dalam perang yang berlaku di Muka Selat Madura pada 692 M. Dalam peperangan ini, angkatan tentera Kalingga telah dapat ditewaskan, namun angkatan Sriwijaya tetap pulang ke Sumatera kerana kemangkatan Maharaja Sri Wijaya.